Anak merupakan permata hati bagi kedua ibubapanya. Kehadiran anak-anak adalah penyeri dalam kehidupan sepasang insan yang bergelar suami isteri. Justeru itulah orang Melayu mengungkapkan anak sebagai ‘cahayamata’ yang sudah tentu melambangkan kekudusan perasaan dan ikatan jiwa antara ibubapa dan anaknya. Kelahiran cahayamata sulung biasanya ditatang dengan penuh belaian kasih sayang dan perhatian yang tidak berbelah bahagi. Kenakalan anak-anak biasanya menjadi sumber kemarahan ibu bapa dan anak-anak yang masih kecil tidak berdosa biasanya menjadi tempat melepaskan geram setelah seharian keletihan mengemaskan rumah atau sibuk di pejabat.
Hadith Rasulullah saw “Setiap anak dilahirkan atas fitrah, terpulanglah kepada ibubapa untuk mencorakkannya samada meyahudikannya, memajusikannya atau menasranikannya”.
Hadith ini dengan jelasnya meletakkan tanggungjawab pendidikan anak-anak di bahu ibubapa dan bukannya datuk, nenek, saudara mara ataupun guru. Dengan ini ibubapa tidak boleh berlepas tangan menyerahkan pendidikan akhlak ataupun hal-hal pendisiplinan anak-anak kepada pembantu rumah, pengasuh ataupun guru-guru sahaja. Sementara itu pepatah Melayu yang tidak lekang dik panas serta menjadi ingatan sepanjang zaman: Melentur buloh biarlah pada rebungnya.
Pendidikan dan pembentukan keperibadian anak anak hendaknya bernula sedari kecil lagi. Mesti dilakukan oleh kedua duanya sekali, bukan ibu seorang dan bukan juga bapa seorang. Bagaimana mendidik anak supaya menjadi seorang yang berakhlak mulia, penyantun serta berbudi bahasa dalam usia anak yang masih mentah. Pertama sekali, ibubapa perlulah berusaha untuk memenuhi hak-hak asasi anak seperti yang telah digariskan oleh Islam. Menurut Prof Abdul Rahim Omran, terdapat 10 hak-hak asasi seorang anak iaitu;
1. hak untuk hidup
2. hak untuk mempunyai genetik yang sahih (anak yang dilahirkan dari ibubapa yang sah pernikahannya)
3. hak untuk mempunyai nama yang baik
4. hak untuk mendapat belaian kasih sayang, perlindungan dan penyusuan ibu
5. hak untuk mendapat tempat tidur yang berasingan
6. hak untuk mendapat pendidikan dan ilmu pengetahuan
7. hak untuk dibesarkan di dalam suasana Islam
8. hak untuk mendapatkan setiap sesuatu yang dibelanjakan untuknya dari sumber yang halal
9. hak untuk mempelajari kemahiran hidup dan pertahanan diri
10. hak untuk mendapat layanan yang saksama tanpa mengira jantina atau gender
Jika diteliti dengan begitu halus, apa yang telah digariskan oleh Prof Omran mencakupi keperluan segala aspek-aspek fizikal, mental, emosi dan rohani mahupun maruah diri seseorang individu. Hak yang pertama dan kedua yang digariskan di atas menuntut agar pemuda dan pemudi Islam hari ini tidak berzina sehingga menyebabkan lahirnya anak luar nikah. Anak yang dikurniakan oleh Allah kepada ibubapa adalah sebagai amanah yang memerlukan pertanggungjawaban yang besar. Anak bukanlah hakmilik mutlak ibubapa sehingga ada yang sanggup memperlakukan anak dengan sesuka hati sehingga terjadilah fenomena sumbang mahram, haruan makan anak atau ibu yang sanggup melacurkan anaknya demi mengejar kemewahan hidup. Dewasa ini kita seringkali dikejutkan dengan kes-kes anak-anak di bangku sekolah yang sudah mula terlibat dengan pelbagai perlakuan jenayah daripada mencuri dan mengugut sehinggalah kepada merogol dan membunuh. Kes-kes ini sangatlah menyayat hati kita sebagai masyrakat yang prihatin dan penyayang. Persoalannya ke manakah perginya ibu bapa kanak-kanak ini?
Kebanyakan anak-anak yang dibesarkan dalam suasana yang ekstrim tanpa kasih sayang yang secukupnya akan mudah terlibat dengan gejala-gejala yang merosakkan akhlak. Kasih sayang yang berlebihan juga boleh menyebabkan anak menjadi buta lantas tidak tahu membezakan antara yang baik dan buruk lantaran kehendaknya tidak pernah dibantah atau tindakannya tidak diambil peduli. Masyarakat seringkali menyalahkan ibubapa sekiranya berlaku perkara-perkara sedemikian. Si bapa pula akan menyalahkan ibu yang menurutnya bertanggungjawab sepenuhnya mendidik anak-anaknya. Sebenarnya kedua-dua ibubapa adalah bertanggungjawab terhadap pendidikan anak-anak. Sikap saling menyalahkan antara satu sama lain sangat merugikan kerana ia tidak menyelesaikan apa-apa masalah. Al Qur’an menjelaskan bahawa peranan mendidik anak terletak pertama-tamanya di atas bahu seorang bapa manakala ibu sebagai pendokong dan penyokong utamanya. Ini dinukilkan di dalam surah Luqman,ayat 13: “Dan ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu dia memberi pelajaran kepada anaknya : Hai anakku, janganlah nkamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah benar benar kezaliman yang besar.”.
Disini Luqman sebagai seorang bapa, telah memulakan mendidik anaknya dengan memperkenalkannya kepada Allah swt, Pencipta dan Pemilik alam ini. Seterusnya Luqman ( mewakili kaum ‘bapa’) mengajarkan anaknya tentang bahaya syirik dan menasihatkan anaknya tentang beberapa tatacara akhlak yang mulia. Nah, begitulah betapa besarnya perananan kaum bapa dan ini menunjukan bapa memang tidak boleh lepas tangan dalam pembinaan sahsiah anak anak.
Dalam perubahan struktur keluarga di zaman ini (dimana kaum ibu juga sama-sama mencari nafkah), tugas bapa bukanlah setakat mencari nafkah untuk keluarga semata mata tetapi harus aktif dan berganding bahu sebagai ibubapa yang berpadu tenaga untuk mengenalkan anak kepada aqidah Islam yang mantap. Keutuhan aqidah inilah yang akan menjamin kemuliaan akhlak anak-anak remaja Islam seperti mana kerapuhan aqidah boleh membawa kepada kegelinciran dari nilai hidup Islam. Di dalam hal ini Dr. Abdullah Nasih Ulwan di dalam bukunya Tarbiyyatul Aulad Fil Islam (Pendidikan Anak-anak Di dalam Islam) telah merakamkan tujuh tanggungjawab pendidikan iaitu;
1. Tanggungjawab pendidikan keimanan (aqidah)
2. Tanggungjawab pendidikan akhlak
3. Tanggungjawab pendidikan jasmani
4. Tanggungjawab pendidikan mental
5. Tanggungjawab pendidikan rohani
6. Tanggungjawab pendidikan sosial
7. Tanggungjawab pendidikan seks
Dalam kesibukan mengejar kehidupan dunia moden hari ini, ibubapa harus juga tidak ketinggalan menyediakan diri sebagai ibubapa yang berketerampilan. Sebenarnya persiapan ini haruslah bermula semenjak seorang lelaki dan wanita itu bercita-cita hendak mendirikan rumahtangga. Persiapan yang sering ditekankan dan digembar-gemburkan oleh pihak media hanyalah bersifat superfisial iaitu persiapan fizikal seperti hantaran, maskahwin, membeli kereta, rumah dan sebagainya. Tanpa menafikan kepentingan persiapan fizikal, persiapan yang lebih penting untuk melayari kehidupan berumahtangga seterusnya ialah persiapan mental dan emosi. Ramai pemuda dan pemudi Islam yang memasuki alam rumahtangga tanpa persediaan mental dan emosi yang secukupnya menyebabkan mereka tidak berkemampuan menghadapi konflik yang timbul yang mengakibatkan perkahwinan dan keluarga bahagia yang diidam-idamkan berakhir dengan perceraian ataupun menyebabkan sebelah pihak mengalami penderitaan emosi dan mental. Ibubapa seringkali lalai dari mengingati bahawa sesungguhnya segala tindak tanduk mereka menjadi tontonan dan cerminan anak-anak. Ibubapa kerapkali leka bahawa segala tindakan mereka di hadapan anak-anak adalah sebenarnya ‘didikan’ kepada anak itu sendiri. Ini bermakna bahawa tingkahlaku ibubapa yang garang, pemurah, pemaaf dan sebagainya telah mendidik anak-anak supaya bersikap dengan sikap yang serupa di mana sahaja dan dengan sesiapa sahaja. Sebab itu tidak hairanlah sekiranya anak-anak meniru perkataan-perkataan yang baik mahupun buruk yang terhambur dari mulut ibubapa mereka. Ini juga merupakan satu cabaran yang besar kepada para ibubapa agar mereka membiasakan melatih diri dengan akhlak Islam yang mulia demi pembentukan generasi akan datang yang juga berakhlak mulia.
Akhirnya, semoga para ibubapa dan pendidik sekalian dapat mempertingkatkan iltizam di dalam mendidik cahayamata masing-masing dengan merenung mafhum Hadis Rasulullah s.a.w di bawah; “Sesungguhnya Allah akan bertanya setiap penanggungjawab akan tanggungjawabnya, apakah dia telah memeliharanya ataupun mensia-siakannya” (Riwayat Ibnu Hibban).
Casino Finder (NJ) - Find Casinos Near Me
ReplyDeleteFind your nearest Casino Finder (NJ) with 부천 출장안마 free 영천 출장안마 parking, 구리 출장안마 online 24 hour 충주 출장마사지 front desk access and live chat. Need 남원 출장샵 Directions? Find Casinos Near Me.