
Sebagai kor yang tertua di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kor Infantri mempunyai rentetan sejarahnya yang tersendiri. Pada tanggal 1 Mac 1933 bertempat di Port Dickson, Negeri Sembilan, seramai 25 anak watan memulakan latihan rekrut dalam Kompeni Percubaan Askar Melayu yang mana menjadi pengasas terbentuknya Tentera Darat Malaysia sekarang. Di antara yang memainkan peranan utama dalam penubuhan rejimen ini adalah Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhamad Ibni Yam Tuan Antah, Undang Luak Rembau Negeri Sembilan, Dato’ Abdullah bin Dahan, Sultan Perak, Sultan Alang Iskandar Shah dan Raja Di Hilir Perak, Raja Sir Chulan. Dengan berbekalkan semangat keperwiraan, latihan yang intensif serta perancangan yang menyeluruh, skuad ini telah berkembang dengan pesat bagi memenuhi keperluan semasa negara. Dalam mempertahankan maruah bangsa melayu dan membuktikan keperwiraan anak-anak watan, 2 buah batalion Rejimen Askar Melayu Diraja telah terlibat di dalam Perang Dunia ke 2. Di antara pertempuran yang menjadi ingatan dan kebanggan Kor Infantri adalah “Battle Of Muar”. Di dalam pertempuran ini, Lt Ibrahim Al-Dita selaku ketua platun telah membuktikan keberaniannya. Beliau telah dianugerahkan “Military Cross” iaitu pingat yang tertinggi Perang Dunia ke 2 bersama dua lagi rakannya iaitu Lt Ismail Babu dan Kpl Yaakob Bidin. Pertempuran Bukit Chandu pada 14 Feb 1942 yang begitu sengit merupakan satu titik tanda sejarah yang membuktikan keperwiraan dan keberanian Askar Melayu. Dalam pertempuran ini, Lt Adnan Saidi telah sanggup bertahan sehingga ke titisan darah yang terahkir. Beliau telah berjaya membunuh ramai tentera musuh serta rela ditikam sehingga mati daripada menyerah kalah kepada tentera Jepun.
No comments:
Post a Comment